Presidennya, Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, ABIM menilai penyertaan serta ratifikasi tersebut merupakan isyarat jelas komitmen negara untuk memastikan keamanan sejagat dipelihara dengan menjunjung nilai keadilan dan hak asasi tanpa sebarang kompromi.

MOHAMAD RAIMI AB. RAHIM
MOHAMAD RAIMI AB. RAHIM 

Beliau berkata, ini kerana bidang kuasa ICC meliputi penyia­satan, perbicaraan serta hukuman terhadap jenayah meliputi pembunuhan beramai-ramai, je­nayah terhadap kemanusiaan, perang dan pencerobohan.

“Besar harapan ABIM agar hak serta kedudukan Malaysia dalam ICC ini dapat dimanfaatkan untuk menegakkan keadilan serta membela hak asasi umat Islam di seluruh dunia khususnya di Palestin, etnik Rohingya, Syria, serta etnik Uyghur yang menderita akibat kezaliman serta pe­nindasan pihak ti­dak bertanggungjawab.

“Sesungguhnya ratifikasi ini adalah detik bersejarah yang bermakna kerana ia adalah satu refleksi penting komitmen Malaysia sebagai sebahagian da­ripada warga antarabangsa men­junjung keamanan sejagat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan Malaysia semalam me­nerusi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC.

Wisma Putra menjelaskan, Je­maah Menteri pada Disember lalu telah memutuskan supaya negara menyertai statut berke­naan.

Keputusan itu juga telah di­sem­bah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah pada 15 Januari lalu.

Mohamad Raimi berkata, pembabitan Malaysia sebagai negara anggota ICC membuka ruang untuk negara ini berperanan secara proaktif dalam arena politik antarabangsa khususnya menerusi artikel Artikel 13 (A) dan 14 (1) Statut Rome.

“Kedua-dua artikel itu secara jelas menetapkan hak serta peranan Malaysia sebagai negara anggota ICC yang boleh memberikan kesan sangat besar dalam mencorak politik antarabangsa berasaskan prinsip kebenaran dan keadilan,” katanya.