Perdana Menteri juga berharap prestasi ekonomi negara untuk tempoh yang sama mencatatkan pertumbuhan lebih positif kesan pakej rangsangan tersebut.

Katanya, beliau tidak terkejut apabila KDNK pada tahun lalu mencatatkan pertumbuhan lebih rendah berbanding pencapaian pada 2007 berdasarkan keadaan ekonomi semasa negara dan global.

Abdullah berkata, prestasi yang rendah itu bukan kerana kerajaan tidak berusaha atau tiada rancangan untuk meningkatkan pertumbuhan tetapi ia lebih kepada tekanan ekonomi luar biasa yang dihadapi oleh negara.

“Kita tiada pakej rangsangan yang besar tahun lalu kecuali pakej pada November. Pakej itu hanya boleh menunjukkan kesan pada tahun ini. Kesannya akan kita lihat dalam suku pertama nanti.

“Apabila pakej rangsangan baru diumumkan pada 10 Mac ini, kita ada sembilan bulan. Jadi kita harap pencapaian tahun ini akan lebih baik daripada 2008. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di sini, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi ekonomi negara bagi keseluruhan tahun 2008 yang mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 4.6 peratus.

Jumlah itu adalah rendah daripada anggaran awal iaitu sekurang-kurangnya lima peratus.

Menurut Abdullah, beliau tidak mahu menganggarkan secara spesifik kadar pertumbuhan itu tetapi berharap ia akan mencatatkan kenaikan serta kesan yang lebih positif berbanding suku akhir tahun lalu.

KDNK Malaysia dalam tempoh suku keempat tahun lalu mencatatkan pertumbuhan 0.1 peratus iaitu yang terendah sejak suku ketiga 2001 iaitu 0.4 peratus.