Beliau malah mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengakui kecuaian dalam kenyataan tersebut termasuk mendakwa Dr. Mahathir telah pergi ke Istana Negara tanpa diundang pada malam 9 Mei tahun lalu untuk meminta Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengangkat sumpahnya sebagai Perdana Menteri.

Jelas Abdul Hamid, beliau telah pun membuat pindaan yang perlu dalam kenyataan tersebut dan meminta semua pihak yang telah menyiarkannya supaya turut menarik balik kenyataan asal itu.

“Saya akui bahawa saya telah membuat kesilapan fakta dan juga komen yang berbangkit daripada kesilapan fakta itu dalam penulisan rencana itu. Saya akui ia disebabkan oleh kecuaian saya sendiri dan saya tidak mengemukakan apa-apa alasan di atas kesilapan itu.

“Dengan rendah diri dan dengan penuh penyesalan, saya memohon maaf kepada Dr. Mahathir di atas kesilapan itu dan apa-apa persepsi negatif terhadap beliau yang disebabkan oleh kesilapan dan komen itu,” katanya dalam laman blog miliknya, tunabdulhamid.my, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Abdul Hamid yang mendakwa Sultan Muhammad V melakukan beberapa kesilapan semasa menduduki takhta termasuk berhubung pengampunan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, Abdul Hamid turut mendakwa Dr. Mahathir telah pergi ke Istana Negara tanpa diundang untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sejurus selepas memenangi Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dakwaan itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan balas dan menyifatkan perkara itu sebagai tidak berasas kerana Dr. Mahathir hanya hadir ke Istana Negara lewat tengah hari 10 Mei untuk majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri. - UTUSAN ONLINE