Penganugerahan itu diberikan atas jasa bakti dan penglibatan beliau ke arah memartabatkan dan menerajui ummah khususnya dalam tarbiah Islamiah dan pembangunan kerohanian berteraskan maqasid syariah.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat yang mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam majlis sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, 80, pula dianugerahkan Tokoh Murabbi Ummah.

Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Johari Mat, 67, menerima Anugerah Tokoh Pendidik manakala Tokoh Pendidik Muslimat diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Halimah Ali, 59.

Ketua Pengarah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti), Mohamad Ismail, 44, meraih Anugerah Tokoh Pendidik Muda di samping bekas pensyarah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah Terengganu tahun 2002, Allahyarham Abd. Rahman Ahmad menerima Tokoh Pondok.

Bagi kategori Anugerah Khas pula, Tokoh Pendidik Masyarakat Nusantara diberikan kepada penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, 55; Bekas Pengerusi Darussyifa’ Terengganu, Zainal Abidin Ahmad, 77,(Tokoh Guru Tahfiz) dan Tokoh Pendidik Kelainan Upaya diterima Pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd. Fauzi Mansor, 48.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman. - UTUSAN ONLINE