Abdul Bari Asyraf adalah antara enam individu yang bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Terengganu untuk menyelamatkan lima sekeluarga setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki keluarga itu terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan 8 Februari lalu.

Walau bagaimanapun, Abdul Bari ditemukan lemas selepas menyelamatkan lima sekeluarga itu.

Hari ini Mohd. Mustafa, 66, mewakili arwah bersama lima individu yang lain iaitu Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28; Saiful Anuar Mohd., 37; Mohd. Amiro Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27; dan Shahrul Mizan Harun, 34, menerima sijil penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia atas keberanian dan pengorbanan mereka menyelamatkan mangsa dalam kejadian itu.

Sijil penghargaan disampaikan Ke­tua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Terengganu, di sini hari ini.

Mohd. ketika ditemui berkata, meskipun anaknya terkorban dalam peristiwa itu beliau bangga dengan pengorbanan anaknya itu dan menasihatkan orang ramai khususnya golo­ngan muda agar mengikut jejak Abdul Bari Asyraf menjadi penyelamat ketika orang lain ditimpa kesusahan.

Ibu arwah Masitah Awang, 60, pula berkata beliau masih mengambil masa untuk melepaskan segala kenangan bersama anak bujangnya itu terutama perilaku Abdul Bari Asyraf yang sering bergurau dan bermesra dengannya.

“Ia datang dan pergi, meskipun ba­nyak anugerah dan penghargaan yang diterima arwah selepas kejadian itu pemergiannya tiada galang ganti, tetapi sudah kehendak tuhan, arwah pergi dalam keadaan beliau menyelamatkan orang dalam kesusahan,” katanya sebak. – BERNAMA

Adik perempuan Abdul Bari, Siti Nur Kamilah, 24, yang sedang menuntut di Universiti Tekonologi Mara Shah Alam, Selangor mengakui belum dapat melupakan kenangan bersama arwah yang sering mengambilnya di stesen bas setiap kali pulang bercuti di kampung.

“Selalu bila dah sampai di Kuala Terengganu, saya akan telefon arwah suruh ambil, nanti mungkin selepas ini akan terdail lagi nombor abang sebab dah terbiasa,” katanya. – BERNAMA