Kata Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepentingan bahasa induk harus dipertahankan dan buktinya setiap ketamadunan yang segar sentiasa mengangkat bahasa induk sendiri tanpa menutup peluang bagi menguasai bahasa lain.

Meskipun disedari terdapat kelompok yang menganggap usaha memperkasakan bahasa Melayu sesuatu yang meremeh­kan, beliau mahu sikap itu dibuang dan memastikan bahasa tersebut tidak diabaikan dalam arus pembangunan mo­den.

“Saya mahu hal ini dilakukan dengan usaha lebih gigih meng­angkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa sastera dan ilmu sebelum kita terlalu ghairah mendukung penguasaan bahasa Inggeris.

“Saya harap hal ini difahami kerana semua negara berkembang dan mempunyai tamadun yang segar menerima kekuatan bahasa induk yang kukuh tetapi terbuka terhadap penguasaan bahasa lain,” katanya semasa berucap dalam majlis Ha­diah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 di Dewan Utusan di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir dan Pengerusi Jawatankuasa HSKU, Datuk Zulkefli Hamzah.

Dalam pada itu, Anwar melahirkan rasa terima kasih kepada Kumpulan Utusan yang menjemputnya sebagai tetamu utama dalam majlis tersebut.

“Ramai teman-teman agak terkejut dengan kesediaan saya untuk hadir. Saya rasa terpanggil kembali ke Utusan kerana kenangkan sejarah akhbar Utusan Malaysia yang sinonim de­ngan sejarah kebangkitan bangsa Melayu.

“Sejarah itu tidak boleh dinafikan atau dimungkiri. Ia berkesan memberi kesedaran kepada bangsa pada ketika semangat mereka agak longlai dan malap,” katanya.

Beliau turut mengakui akhbar Utusan Malaysia berperanan penting dalam mengangkat kariernya bermula sejak zaman beliau memimpin gerakan mahasiswa beberapa dekad lalu, tetapi turut mengakui akhbar tersebut memberikan ‘pende­ritaan’ kepadanya apabila tidak bersama UMNO lagi.