Penggantungan yang tidak ditetapkan tarikh tamatnya itu dilaksanakan sebelum penubuhan tribunal siasatan ke atas acara yang menyebabkan kematian dua penonton Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (Eimarace 2016) di Kuantan baru-baru ini dan perkara tersebut bakal menjejaskan segala program anjuran mereka, termasuk KBS-MAM Kapcai Endurance 2016 iaitu satu acara yang cukup popular.

“Sejak MAM diasaskan pada tahun 2007, persatuan ini telah bekerjasama dengan pihak sukan permotoran dari semua peringkat di seluruh Malaysia dan mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam penganjuran serta penglibatan dalam mana-mana acara perlumbaan.

“Selain mempromosi sukan permotoran daripada peringkat akar umbi, memberi galakan kepada pihak penganjur untuk menganjurkan perlumbaan yang sah di samping jaminan ke­selamatan turut menjadi objektif kami,” kata MAM dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Ahad lalu, Izwan Isa, 39, dan anak perempuannya Nur Zulaikha, 5, maut selepas sebuah kenderaan yang bersaing dalam Eimarace 2016 terbabas dari trek dan merempuh penonton.

Anak lelaki Izwan, Muhammad Iz Danial, 7, turut cedera dalam kejadian itu manakala isterinya Siti Suhaiza Seman, 38, cedera ringan.

Menurut MAM, sejak berke­cimpung dalam penganjuran sukan permotoran, persatuan tersebut belum pernah terlibat dengan kejadian tidak diingini, malah sentiasa mengikut standard ke­selamatan yang ditetapkan.

“Insiden yang berlaku di Kuantan adalah kes terpencil. Kami sedang menjalankan siasatan penuh terhadap kejadian tersebut untuk mencari punca supaya dapat mengelakkan perkara sama berulang.

“Secara ikhlas kami berharap insiden itu tidak akan menjejaskan sukan permotoran, malah tidak menjatuhkan semangat akar umbi untuk sukan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, kata ke­nyataan tersebut, MAM bersetuju dengan menjadikan keselamatan sebagai satu aspek paling penting dalam sukan permotoran dari pe­ringkat akar umbi sehingga peringkat antarabangsa sa­ma ada perlumbaan di atas jalan mahupun trek.

“Kami akan bekerjasama penuh dengan sebarang siasatan yang dilakukan. Ia amat menyedihkan tetapi harus menerima hakikat bahawa penambahbaikan aspek keselamatan sering dibangkitkan setelah berlakunya sesebuah tragedi.

“MAM berharap persatuan ini dapat terus bekerjasama dengan pihak yang terlibat untuk memastikan semua perlumbaan adalah selamat, mudah didatangi dan menghiburkan semua penonton serta semua peserta terlibat,” katanya.