Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, melalui latihan itu, mereka berupaya bertindak secara lebih mudah untuk menangkap penagih dan pengedar dadah sebelum proses dihantar ke 27 Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) di seluruh negara.

"Setakat ini, seramai 117 orang dipilih menyertai Pasukan Strike. Namun 25 orang daripada 45 orang berjaya menamatkan latihan itu di sini selama tujuh hari dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Taktikal Pertahanan Diri Pasukan Khas - Strike Siri 1/2018 di Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sungai Petani di sini.  

Yang turut hadir Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said; Komander Pasukan Strike AADK Malaysia, Zainudin Abdullah; Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah dan Pengarah Pusat Latihan AADK Sungai Petani, Roswati Apin.

Menurutnya, setelah latihan kemahiran diberikan itu, mereka tentu berkemampuan untuk menangkap penagih dan pengedar semasa melarikan diri di tempat-tempat tertentu.

"Saya amat puas hati dengan latihan itu, bagaimanapun mereka perlu berwaspada ketika menangkap golongan itu tanpa bertindak secara kekerasan.

"Pasukan ini juga akan memburu golongan remaja dan pelajar sekolah kerana mereka itu sama-sama licik dalam aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di kawasan masing-masing," katanya.

Sempena majlis itu, Muhamad Aisamuddin Alias, 32, dari Ibu pejabat AADK Kuala Lumpur dipilih menerima anugerah sebagai penembak terbaik manakala rekrut terbaik keseluruhan pula dimenangi oleh Muhamad Syadidi Zabidi, 30, dari AADK Johor Baharu. - UTUSAN ONLINE