Penyanyi veteran ternama itu sebelum ini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang akibat pendarahan otak dan angin ahmar.

Menaklumkan perkara tersebut menerusi laman sosial Instagram, anaknya, Khir Rahman memberitahu, jenazah bapanya akan dibawa ke kediaman keluarga tersebut di Taman Sri Ukay sebelum dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Taman Keramat.

Khir menambah, penyanyi veteran ternama itu menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang amat tenang di samping isteri, Datin Fadilah Mansor dan kedua-dua anaknya.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Tak Mengapa itu telah dikejarkan ke hospital pada 2 Jun lalu selepas mengadu sesak nafas.

Difahamkan, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) itu mengalami kesukaran bernafas dan ditahan dalam bilik rawatan selama 12 jam dan dibenarkan pulang sehari sebelum menjelang Syawal.

Sementara itu, A. Rahman meninggalkan tiga anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman, hasil perkahwinannya dengan Datin Azizah Mohamad, juga penyanyi era 60-an yang meninggal dunia pada 26 April 2013 akibat kanser.

A. Rahman berkahwin dengan pelakon Fadilah Mansor, 59, pada 25 Disember 2014 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

A. Rahman Hassan yang juga pengasas Kumpulan Orkes Nirwana merupakan seorang penyanyi Melayu era 60-an dan 70-an dan popular dengan dendangan lagu-lagu berentak pop yeh yeh.

Beliau pernah memenangi Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik dalam Anugerah Kecapi Papuita tahun 2006. - UTUSAN ONLINE