Kadir berkata, maklumat itu diperoleh daripada pegawai penyiasat yang menahannya untuk siasatan mengenai perkara itu hari ini.

“Saya bertanya kepada pegawai penyiasat (dua orang), berapa banyak aduan yang dibuat terhadap saya bersabit tulisan itu. Kata mereka 14. Inilah kali kedua saya disiasat bersabit tulisan saya yang menyentuh mengenai raja-raja.

“Sebelum ini kerana aduan bersabit tulisan saya bertajuk ‘masukkan institusi raja dalam reformasi’ yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 27 Mei lalu,” katanya dalam laman blognya, The Scribe A. Kadir Jasin hari ini.

Pada November tahun lalu, beberapa Ketua UMNO dan pemimpin PKR membuat aduan polis menuduh dirinya menghina Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sewaktu istiadat pertabalan diraja Sultan Kedah ke-29.

Istiadat itu diadakan di Alor Setar, Kedah pada 22 Oktober lalu.

Tambah Kadir, beliau tidak mempunyai masalah untuk disiasat kerana mempunyai ilmu yang boleh dipelajari ketika disiasat.

Katanya, beliau boleh memberi pencerahan kepada pegawai penyiasat ketika mereka menyiasat.

“Terima kasih banyak-banyak kepada peguam, Haniff Khatri dan terima kasih kepada semua,” katanya mengulas lanjut. - UTUSAN ONLINE