Menurut Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, jejaka kacukan Melayu-Pakistan itu tiba-tiba memunculkan dari arah belakangnya sambil diiringi alunan muzik gitar dimainkan sahabat mereka lalu melamarnya dengan menyarungkan cincin ke jari manisnya.

“Pada mulanya, Ariff menjemput saya untuk menikmati makan malam di sebuah restoran, tetapi tidak disangka dia muncul membawa sebentuk cincin lamaran.

“Saya amat terharu dengan kegigihannya melakukan semua ini kerana inilah kali pertama saya melalui pengalaman sebegini dan kejutan daripada seorang lelaki,” jelas A. Aida yang pernah tiga kali gagal dalam perkahwinan.

Tambah A. Aida, sebelum mereka keluar bersama, pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf itu memintanya mengenakan tudung kerana mahu melihatnya menutup aurat.

“Saya penuhi permintaannya dan sejujurnya, saya tidak mengesyaki bakal menerima kejutan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai lamaran tersebut, Ariff dikatakan telah menyiapkan segala dokumen pernikahan dan mereka dijadualkan bernikah dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, A. Aida mempertimbangkan untuk melangsungkan majlis resepsi pada 20 April 2019 bersempena dengan hari ulang tahun kelahirannya. - UTUSAN ONLINE