Pengarah A'Famosa Resort, Lau Joo Feng berkata, replika ketupat bersaiz 4.6 meter persegi tinggi dan 3.9 meter persegi lebar itu dihasilkan dengan kos sebanyak RM15,000.

Menurut beliau, penghasilan replika berkenaan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan sepenuhnya dengan bantuan 10 kakitangan pusat peranginan itu.

“A'Famosa memperoleh idea untuk mencipta ketupat gergasi ini menggunakan polistirena yang dibentukkan sebagai ketupat mini sebelum diikat dengan reben.

“Untuk menghasilkan ketupat gergasi ini, sejumlah 3,500 ketupat mini digunakan dan replika ini dipamerkan di D'Garden di A'Famosa Resort,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan pelancaran ketupat gergasi itu yang diadakan di pusat peranginan tersebut di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran ketupat gergasi itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad dan turut dihadiri Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Melaka, Jeffri Munir; Pengurus Besar A'Famosa Resort, Robert Na dan wakil MBOR, Leona Paul.

Menurut Joo Feng, replika ketupat gergasi itu dihasilkan bagi meraikan sambutan Aidilfitri selain menjadi tarikan pelancong ke A'Famosa Resort.

Pada majlis itu juga katanya, turut diadakan penyampaian bantuan Hari Raya kepada 100 anak yatim dari Rumah Jalinan Kasih Alor Gajah, Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Baitul Furqan Enterprise dan Rumah Tunas Harapan Bemban, Jasin.

“Pihak kami turut mengedarkan 3,000 ketupat kepada pe­ngunjung dan orang awam dan mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari empat rumah kebajikan berkenaan,” katanya.