Antara perkara yang terkan­dung dalam pelan 12 perkara yang ditetapkan Khazanah itu ialah mengurangkan keseluruhan 20,000 kakitangan MAS kepada 14,000 orang.

Ini bermakna sebanyak 6,000 orang pekerja terpaksa diberhentikan bagi memastikan kelangsungan MAS.

Bagi membela nasib pekerja-pekerja yang terpaksa diberhentikan itu, Khazanah telah menubuhkan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) sebagai langkah menyokong peralihan kerjaya mereka.

Dibuka secara rasmi untuk pendaftaran pada 1 Jun 2015, CDC menawarkan perkhidmatan penempatan pekerjaan dan latihan kepada kakitangan MAS yang ditamatkan perkhidmatan.

Ia termasuk mengenal pasti bakat, khidmat kaunseling kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran mencari kerja, keusahawanan serta perancangan persaraan dan penempatan kerja.

Bagi kakitangan yang ingin menambah kemahiran, CDC menawarkan pelbagai program, kursus atau kelas yang relevan dengan pasaran meliputi pelbagai industri.

Bagi individu yang ingin mencari pekerjaan baharu pula, mereka akan diberi nasihat dan bimbi­ngan oleh kaunselor kerjaya terlatih dan berpengalaman berhubung peluang kerjaya berdasarkan kecenderungan, pengalaman kerja terdahulu dan kemahiran.

CDC menunjukkan langkah-langkah yang praktikal serta memberi nasihat dan sokongan untuk membantu bekas kakitangan MAS merancang langkah seterusnya sama ada hendak mencari perkerjaan baharu, menceburi bidang perniagaan atau bersara awal.

Sehingga 29 Jun lalu, 78 peratus daripada kakitangan MAS yang ditamatkan kerja di bawah pelaksanaan PPM telah mendaftar de­ngan CDC.

Daripada jumlah itu, 98 peratus daripada mereka berjaya beralih kerja dengan 65 peratus mendapat pekerjaan baharu, 30 peratus bekerja sendiri atau menjadi usahawan dan lima peratus memilih untuk bersara awal.