Mereka melibatkan 12 murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 39 pelajar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 45 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 5A ke atas dari 22 sekolah di kawasan luar bandar.

Program berkenaan merupakan kerjasama antara UMP dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud berkata, kerjasama dalam membantu murid dan pelajar terutama dari keluarga berpendapatan rendah wajar diteruskan bagi menjadikan mereka seiring pelajar bandar. 

"Program Empower ECER adalah usaha murni untuk mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan membantu mereka memperbaiki mutu pembelajaran.

"Kita mahu mereka bersemangat untuk belajar sekali gus mencapai kejayaaan dalam akademik agar dapat mengubah nasib diri sendiri dan keluarga," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kecemerlangan Akademik Juara Empower ECER di sini hari ini.

Yang hadir sama Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Kualiti) UMP,  Prof. Datuk Dr. Ishak Ismail; Penasihat Persatuan Wanita UMP (Matahari), Datin Seri Fazia Ali; Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Mohd. Rozi Hassan dan Pengurus ECERDC Wilayah Pahang, Muzarir Karnain Mahmud Kamsani.

Sementara itu, Ishak memberitahu program Empower ECER telah melalui penambahbaikkan sejak dilancarkan pada 2010.

"Program ini tidak lagi tertumpu pada penekanan teknologi sahaja malah, turut menerapkan elemen teknologi dan inovasi melalui inisiatif UMP. 

"Pelbagai program dilaksanakan dan dirancang melibatkan pelbagai fakulti untuk memberikan pendedahan yang menyeluruh sekali gus merealisasikan usaha kami untuk memasyarakatkan teknologi," ujarnya. - UTUSAN ONLINE