Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pelajar Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Sa’erah Abdul Rahim berkata, pencapaian itu membuktikan lulusan kolej komuniti juga mampu bersaing merebut pe­luang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, selain itu, keba­nyakan mereka juga berjaya sebagai usahawan manakala sebahagiannya mengambil peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat belajar.

“Sehingga kini terdapat 92 ko­lej komuniti di seluruh negara de­ngan saban tahun lulusan kolej komuniti ini terus mendapat tempat dalam pasaran kerja.

“Ini secara tidak langsung me­nunjukkan lulusan kolej komuniti mempunyai nilai tambah dan berdaya saing bagi memenuhi pasaran kerja,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ukhuwah Muhibbah Kolej Komuniti Wilayah Timur di Kolej Komuniti Kok Lanas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Kok Lanas, Che Ariza Che Kassim.

Sementara itu, mengulas me­ngenai majlis tersebut, beliau berkata, program Ukhuwah Muhibbah diadakan bertujuan membina jati diri dan memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar selaras de­ngan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Sehati Sejiwa.

Katanya, program tersebut juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat.

“Diharapkan program ini dapat mewujudkan generasi muda yang mempunyai jati diri yang kuat, sifat cintakan keamanan selain memupuk semangat juang tinggi bagi memba­ngunkan negara pada masa depan.

“Selain itu, penganjuran program ini juga diharapkan dapat mengukuh­kan lagi kerjasama dan persefahaman di antara warga Kolej Komuniti Wilayah Timur,” katanya.