Pelaksanaan itu sejajar dengan pindaan perintah cukai barangan dan perkhidmatan daripada 6 peratus kepada sifar GST sebagaimana diumumkan kerajaan.

Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK negeri, Shaharuddin Mohd. Kia, operasi itu meluputi semua premis peruncitan di negeri ini yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dengan setakat ini 176 premis telah diperiksa.

Beliau memberitahu, operasi itu juga dilaksanakan secara menyeluruh membabitkan semua premis di kawasan bandar dan luar bandar seluruh Terengganu.

"Pada masa sama, tugas pemantauan dan pemeriksaan turut diperkuatkan dengan penugasan 63 orang pegawai pemantau harga kendalian KPDNKK," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shaharuddin seterusnya berkata, bilik gerakan juga dibuka setiap hari mulai esok di KPDNKK negeri dan hingga pukul 10 malam (negeri) manakala hingga pukul 6 petang (cawangan).

Katanya, orang ramai berpeluang menghubungi bilik gerakan itu di talian 09-6204679 (KPDNKK negeri dan cawangan Kuala Terengganu, 09-6902203 (Besut), 09-8502457 (Kemaman) dan 09-8453586 (Dungun) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN ONLINE