Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, situa­si tersebut agak membimbangkan kerana statistik menunjukkan berlaku peningkatan pendaftaran pence­raian setiap tahun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, statistik menunjukkan pada 2012 sebanyak 29,253 pasangan mendaftar untuk bercerai, manakala pada 2013 pula sebanyak 29,583 pasangan dan angka tersebut terus meningkat kepada 33,842 pasangan pada 2014.

“Antara masalah yang menjadi punca utama mereka mendaftarkan penceraian ialah lemah didikan agama, faktor ekonomi, campur tangan orang ketiga, masalah seksual, masalah sosial, masalah kesihatan, masalah kerjaya, tidak bertanggungjawab dan masalah komunikasi.

“Bagi tempoh sama juga seba­nyak 12,434 pasangan telah mendaftar untuk rujuk kembali, dalam hal ini semua pihak harus sepakat mencari penyelesaian bagi mengelak statistik penceraian di negara ini terus meningkat setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kelestarian Keluarga: Cabaran Pasca Perkahwinan Abad ke-21 selain melancarkan Modul Pasca Perkahwinan Islam, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Menurut Asyraf, Modul Pasca Perkahwinan dilancarkan bagi merealisasikan pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Sakinah Negara untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan Islam melalui pemantapan kualiti serta integriti setiap individu dalam keluarga.

“Modul berkenaan dibahagikan kepada empat fasa perkahwinan iaitu Fasa Bulan Madu bagi tempoh perkahwinan satu hingga lima tahun, Fasa Sehati Sejiwa (enam hingga 10 tahun), Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

“Pelancaran modul pertama di dunia ini tepat pada masanya bagi menangani pelbagai isu yang berkaitan kemelut institusi kekeluargaan ketika ini, misalnya masalah perceraian yang semakin membimbangkan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau amat teruja dan menyokong penuh usaha Jakim dan jabatan agama Islam negeri (JAIN) yang membangunkan modul tersebut kerana me­nyantuni keperluan pel­bagai fasa untuk menangani berbagai isu yang menjadi punca penceraian terutama dalam kalangan pasa­ngan muda di negara ini.

“Modul ini telah digubal oleh 30 orang penulis yang berasaskan pelbagai bidang disiplin ilmu dan kepakaran, saya yakin modul ini dapat membantu setiap pasangan yang bermasalah untuk mengatasi konflik rumah tangga yang timbul selain membentuk pasangan yang teguh akidah,” katanya.