Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, daripada 9,644 pemandu yang berdaftar itu, 7,728 masih aktif membuat pembayaran caruman yang menawarkan skim serendah RM157.20 setahun dengan bayaran RM13.10 sebulan.

Menurutnya, walaupun pelbagai usaha seperti promosi dijalankan, jumlah pendaftaran tersebut masih jauh daripada jumlah di­sa­sarkan iaitu 100,000 pencarum de­ngan lebih 90 peratus pe­mandu tidak berdaftar.

“Ramai pemandu masih tidak sedar bahawa skim perlindungan ini merupakan kewajipan yang telah ditetapkan pihak kerajaan sejak Jun 2017 di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Skim perlindungan ini dapat menjamin keselamatan kepada bukan sahaja pemandu malah ahli keluarga yang akan menerima manfaat jika berlaku kemalangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran MyDrebar dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Perkeso di Wisma Perkeso di sini hari ini.

Mohammed Azman turut menyeru semua pemandu yang la­yak agar segera mendaftar supaya kebajikan mereka dan keluarga dapat dilindungi.

“Pihak kami juga telah memberi pelbagai kelonggaran ketika ini dalam mempermudahkan cara bayaran termasuk memperkenalkan bayaran secara bulanan. Kepada pemandu yang masih berdegil, tindakan kompaun dan pendakwaan akan dikenakan selepas Jun ini,” ujarnya.