Seorang pengawal, Rosli Tahir, 54, mendakwa majikan mereka masih belum melunaskan bayaran gaji selama lima bulan sejak Disember lalu.

Menurutnya, kali terakhir dia dan rakan-rakannya menerima bayaran sebulan gaji ialah pada 29 April lalu selepas mereka membuat aduan tentang masalah yang dihadapi ke Pejabat Tenaga Buruh Segamat pada pertengahan Februari lalu.

“Selepas siasatan, Pejabat Tenaga Buruh mengeluarkan surat arahan supaya majikan kami membayar sebanyak RM58,479.50 tunggakan gaji kepada kami dalam tempoh 14 dari tarikh 27 April lalu.

“Namun selepas lebih sebulan arahan tersebut dikeluarkan, pihak syarikat keselamatan berkenaan masih berdegil dan tidak membuat sebarang bayaran kecuali sebulan gaji yang dibayar pada 29 April lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mereka pernah meminta supaya SAJH campur tangan memandang syarikat kawalan keselamatan tersebut dilantik oleh pihak berkenaan, namun dimaklumkan masalah tersebut adalah antara majikan dengan pekerja dan di luar bidang kuasa syarikat utiliti berkenaan.

Rakannya, Khairuddin Ali, 46, pula melahirkan kebimbangan mereka tidak akan mendapat langsung gaji masing-masing memandangkan tempoh kontrak syarikat tersebut dengan SAJH akan berakhir pada Julai ini.

Dia dan rakan-rakan kini berada dalam keadaan tertekan apatah lagi kini telah masuk bulan Ramadan dan Aidilfitri pula bakal menjelang tidak lama lagi.

Sementara itu, Johari Jais, 40, meminta majikannya segera membayar tunggakan gaji kerana mereka mempunyai tanggungan dan komitmen yang perlu dilunaskan.

“Kami tidak kisah tidak mempunyai wang jika hidup sendirian, tetapi kami mempunyai keluarga yang perlu ditanggung dan bagaimana kami mahu hidup jika terpaksa mengikat perut setiap hari sedangkan dalam masa sama perlu bekerja mengikut kehendak majikan.

“Saya harap pihak berwajib tampil membantu menyelesaikan masalah ini. Apa yang berlaku ini amat tidak adil kerana kami sebagai warga tempatan hidup dalam kesusahan berbanding warga asing yang mencari rezeki di sini,” katanya.