Timbalan Setiausaha Kementerian Pengangkutan Turki, Suat Hayri Aka mengesahkan mengenai angka kematian itu kepada stesen penyiar CNN Turk.

Pesawat Boeing 737 yang dalam penerbangan dari Istanbul, Turki itu terputus tiga apabila terhempas bersebelahan landasan.

Sebelum itu, di Ankara, laporan awal memetik Menteri Pengangkutan Turki, Binali Yildirim sebagai berkata, tiada seorang pun daripada 135 penumpang di dalam pesawat itu terbunuh.

Katanya, semua lapan krew di dalam pesawat tersebut turut selamat.

“Berita baik kerana tidak ada korban jiwa dalam nahas di Lapangan Terbang Schiphol,” katanya dalam laporan awal tersebut.

Beliau bagaimanapun mengesahkan ada penumpang yang cedera tetapi tidak menyebut bilangan mereka.

Terdahulu stesen CNN Turk melaporkan seorang terkorban dan 20 lagi cedera.

Seramai 50 penumpang terselamat tanpa sebarang kecederaan dan sesetengahnya dilihat berjalan meninggalkan lokasi nahas, lapor stesen CNBC Turkey.

Televisyen Belanda pula menunjukkan pesawat itu berada di sebuah padang berlumpur dengan bahagian ekornya tercabut dan keretakan luas pada bahagian badannya di belakang kokpit.

“Kami sekarang berada di tengah-tengah padang, kira-kira 5-6 kilometer dari terminal, kebanyakan penumpang cedera dan kira-kira 30 ambulans sudah tiba,” kata seorang penumpang yang terselamat, Mustafa Bahcecioglu kepada stesen televisyen Turki, Channel 24.

Seorang lagi penumpang, Huseyn Sumer memberitahu CNN Turk menerusi telefon: “Kami ingin memaklumkan keadaan tidak begitu serius tetapi mungkin ada kemalangan jiwa di bahagian depan pesawat.”

Pesawat yang berlepas dari Istanbul pada pukul 8.22 pagi (2.22 petang waktu Malaysia) itu terhempas dekat landasan paling jauh dari terminal di Schiphol, 20 kilometer ke barat daya Amsterdam.

Seorang jurucakap lapangan terbang berkata, ekoran kejadian itu, semua penerbangan yang dijadual mendarat dan berlepas dari Schiphol telah digantung.

– Agensi