Pengerusi Persatuan Guru-guru Sekolah Tamil Negeri Kedah (PGSTNK), G. Kumaran berkata, bakal guru berkenaan yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Tamil) di UPSI pada sesi kursus pengajian 2012 -2013 masih belum dipanggil untuk berkhidmat.

“Temuduga dilakukan pada bulan April lalu di Putrajaya tetapi sehingga sekarang masih belum dipanggil untuk berkhidmat di mana-mana sekolah menengah.

“Ada di antara mereka melahirkan perasaan sedih kerana selepas memperoleh ijazah terpaksa bekerja di tempat lain, termasuk kilang, pusat beli-belah dan lain-lain,” katanya kepada pemberita di pejabat PGSTNK Jalan Kuala Ketil di sini, hari ini.

Kumaran berkata, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik perlu memberi perhatian serius kerana mereka sanggup bertugas di mana-mana sahaja termasuk di negeri Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, S. Vasumathy, 26, dari Kulim Hi Tech Park berkata, dia dan rakan-rakan telah tunggu begitu lama untuk menjadi guru tetapi masih tidak menjadi kenyataan.

“Ibu bapa tentu seronok apabila kami dapat meneruskan kerjaya sebagai seorang guru kerana kami ada ijazah.

“Pendapatan hasil dari kerja di kilang dan pusat beli-belah memang tidak berbaloi dan ramai lagi kawan-kawan saya yang berada di negeri lain selepas tamat pengajian di UPSI turut menghadapi masalah begini,” katanya.

Vasumathy mengalu-alukan usaha PGSTNK untuk membawa perkara itu kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian.