Data itu diperoleh daripada Tinjauan Keselamatan Remaja Kebangsaan 2017 yang turut menyaksikan 18.5 peratus pelajar di negeri ini mengalami kemurungan. 

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, biarpun data yang diperolehi itu tidak serius, namun perlu diberi perhatian khusus kerana membimbangkan sekiranya berlaku peningkatan pada tahun ini. 

Menurutnya, perkara itu perlu didedahkan kepada umum kerana pelajar yang terlibat memerlukan sokongan dan bantuan daripada guru-guru, pensyarah atau ibu bapa. 

“Antara punca utama kepada masalah itu adalah ketagihan internet atau media sosial yang mendedahkan mereka kepada salah laku serta terganggu pemikiran yang akhirnya membawa kepada kemurungan sehingga ada yang cuba membunuh diri. 

“Kecelaruan dan kepincangan di dalam keluarga juga boleh mendorong remaja atau pelajar untuk membunuh diri atau bertindak mencederakan diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental dan Pelancaran Program Siswa Sihat (Prosis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Rektor UiTM Pulau Pinang Prof. Madya Dr. Mohd. Hisbany Mohd. Hashim. 

Tambahnya, masalah itu juga mendorong kepada peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan dewasa sekiranya tidak dikawal dengan berkesan sejak awal. 

“Bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kesihatan membuka beberapa premis untuk kanseling klinikal untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan dan bimbingan. 

“Ibu bapa dan guru-guru juga harus mengenal pasti tindakan dan kelakuan anak-anak dan pelajar mereka serta segera mengambil langkah pencegahan,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE