Pengarah Jabatan Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Ahmad Saidi Hamzah berkata, tumpuan bidang pekerjaan itu adalah melibatkan kerja-kerja perladangan, pembersihan di bawah penyeliaan Felcra, Lingai Bata, Solar dan ada yang bekerja dengan beberapa agensi lain termasuk ahli keluarga masing-masing.

Malah katanya, beliau juga ada berbincang dengan kerajaan negeri supaya turut mengambil ODP ini bekerja dalam sektor-sektor tertentu yang difikirkan sesuai untuk mereka bagi mengambil alih peranan pekerja asing.

"Walaupun kes ODP di negeri ini masih terpencil, namun sistem parol yang diperkenalkan sejak tahun 2008 itu amat berkesan kerana kebanyakan ODP ikut segala peraturan ditetapkan pihak penjara. Malah kualiti kerja mereka juga sangat baik sehingga ada daripada mereka terus bekerja di situ selepas tamat menjalani hukuman," katanya.

Ahmad Saidi menyatakan demikian ketika ditemui selepas menjayakan Sambutan Hari Penjara ke-229 peringkat institusi penjara negeri Terengganu yang berlangsung di Dataran Setia, Penjara Marang di sini pagi ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab. Latiff.

Menurut Ahmad Saidi, sepanjang ODP bekerja di luar tembok penjara, mereka terbabit terus diberikan pemantauan termasuk kaunseling, pemulihan dan keagamaan.

"Tujuan kita adalah untuk membantu banduan dan menyuntik semangat mereka menempuh kehidupan kali kedua bersama masyarakat apabila telah bebas menjalani hukuman kelak," ujarnya.

Dalam majlis itu, seramai 56 kakitangan Jabatan Penjara di negeri ini menerima pingat dan sijil penghargaan masing-masing. - UTUSAN ONLINE