Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Kedah merupakan ne­geri paling tinggi mencatatkan jumlah pelajar positif dadah iaitu seramai 218 orang.

“Tumpuan yang serius akan diambil dan pertemuan dengan pihak Jabatan Pendidikan akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan langkah segera bagi mengekang masalah itu,” katanya dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2017 di Ibu pejabat AADK, Bandar Baru Bangi, dekat sini, hari ini.

Seramai 467 pegawai dan ka­kitangan AADK dari seluruh negara menerima anugerah tersebut.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah AADK, Datuk Dr. Abdul Halim Mohd. Hussin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ali Besar.

Nur Jazlan berkata, Sarawak kedua paling ramai iaitu 112 pelajar, diikuti Johor 105 orang, Perak (92), Pulau Pinang (82), Selangor (61), Pahang (52), Terengganu (34), Kelantan (33), Wilayah Persekutuan (22), Ne­geri Sembilan (5), Perlis (3) dan Melaka (2).

“Hanya Sabah tidak menca­tatkan sebarang angka pelajar­nya terlibat dengan dadah sementara Selangor yang paling tinggi pelajar perempuannya terlibat dengan dadah iaitu tiga orang dan Johor, seorang pelajar,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah 825 pelajar tersebut, 582 daripada mereka mengambil dadah jenis methaphetamine (syabu).

“Seramai 169 pelajar lagi mengambil kanabis, amphetamine 33 pelajar, kokain seramai 33 pelajar dan 10 pelajar lagi mengambil dadah jenis lain,” katanya.

“Jumlah sebenar pelajar sekolah positif dadah dijangka lebih tinggi kerana ada yang terlepas daripada saringan dan ujian air kencing tidak dilakukan ke atas semua pelajar dan berkala,” katanya.

Beliau turut meminta pihak sekolah supaya segera mendapatkan bantuan AADK bagi menangani masalah dadah dalam kalangan pelajar mereka.