Itu reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila diasak oleh media mengenai pendirian kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terus mencetuskan tanda tanya banyak pihak.

Beliau turut meminta pihak media “tunggu dan bersabar” ketika ditanya apa keputusan dan pendirian sebenar kerajaan berkenaan projek itu selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengeluarkan kenya­taan bercanggah.

Malah ketika dimaklumkan kenyatan Mohamed Azmin yang sebelum ini mengumumkan bahawa kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek ber­kenaan, Dr. Mahathir sebaliknya berkata: “Tunggu, tunggulah.

“Guan Eng dah buat kenyata­an dah? Belum lagi, kita tunggu dia lah”.

Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setia­usaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar.

Mohamed Azmin kelmarin memaklumkan kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak CCCC bagi projek ECRL yang digantung pada Julai 2018 pada mesyuarat Kabinet dua hari lepas.

Beliau berkata, keputusan itu diambil setelah meneliti semula kos dan mendapati projek itu terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan buat masa ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menafikan penularan surat menggunakan kepala surat kerajaan mengenai pembatalan projek ECRL itu.

“Kepala surat kerajaan semua orang boleh ambil, potong buat kepala surat. Ini bukan rasmi,” tegas beliau.