Jika dahulu hanya pemandu kereta terbawa-bawa dengan tabiat ini, namun hari ini penunggang motosikal juga dilihat memperjudikan nyawa dengan menggunakan telefon bimbit ketika menunggang.

Meskipun telah terbukti banyak kes kemalangan berpunca daripada kelekaan pemandu serta penunggang motosikal, tetapi tabiat tersebut masih berleluasa dalam kalangan pemandu.

Berikutan itu, wartawan Utusan Malaysia, SYUKRI SHAARI dan NURAINA HANIS ABD. HALIM mengupas mengenai isu memandu sambil menggunakan telefon bimbit serta kesannya kepada pengguna jalan raya.

KUALA LUMPUR 20 Okt. -  Selepas didedahkan mengenai sikap pemandu kenderaan khususnya penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah, satu lagi gejala yang melanda pengguna jalan raya ialah menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Perbuatan yang boleh mengundang bahaya itu bukan sahaja dilakukan oleh pemandu kereta malah dalam kalangan penunggang motosikal pun ramai yang melakukan perbuatan dianggap sengaja menempah maut tersebut.

Dalam tinjauan oleh Utusan Malaysia di seluruh negara, adalah didapati pemandu kenderaan dan penunggang motosikal seolah-olah menganggap apa yang mereka lakukan bukan satu kesalahan.

Ada antara mereka yang asyik melayan perbualan melalui te­lefon bimbit dan ada pula membalas mesej sambil memandu. Perbuatan seumpama itu bukan sahaja boleh membahayakan mereka tetapi juga pengguna kenderaan lain.

Persoalannya, kenapakah gejala tersebut semakin berleluasa? Apakah mereka hanya akan mematuhi peraturan tidak menggunakan telefon bimbit itu ketika ternampak pihak berkuasa sahaja.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 40,125 saman melibatkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini dengan purata 148 saman telah membuktikan perbuatan itu sudah menjadi trend yang amat membimbangkan.

Pengguna-pengguna jalan raya yang mengamalkan sikap itu perlu faham sepenting mana pun panggila atau mesej diterima ia tidak setimpal dengan bahaya yang mungkin menanti jika mereka leka melayan telefon bimbit.

Jika terdapat panggilan atau mesej penting, berusahalah untuk berhenti seketika di pinggir jalan supaya mereka tidak mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Ia kerana mereka sudah diperingatkan berkali-kali bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal boleh menyebabkan mereka hilang tumpuan yang sekali gus memungkinkan mereka terlibat dalam kemalangan.

Oleh itu gejala atau trend tersebut perlu dihentikan. Mungkin sudah sampai masanya hukuman lebih berat dikenakan kepada pengguna-pengguna jalan raya yang berdegil dalam soal tersebut.

Kita tidak boleh selama-lama­nya menganggap penggunaan tele­fon bimbit ketika memandu sudah menjadi perkara biasa memandangkan ledakan teknologi. Pendirian seumpama ini tidak menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya hanya akan menambahkan kadar kemalangan di negara.