AZMAN MAT ALI
AZMAN MAT ALI

Pengarah Jabatan Pen­tadbiran Pertuka­ran Mata Wang Asing BNM, Azman Mat Ali, 54, berkata, tiada sistem semak dan imbang dilaksanakan oleh bank pusat itu ketika mengendalikan urusan dagangan mata wang ­asing dari 1990 hingga 1994.

“Peluang memang wujud namun kami tidak terfikir mengambil kesempatan,’’ ujar­nya ketika memberi kete­rangan pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an di sini hari ini.

Menurut saksi ke-18 itu, sebagai pedagang tukaran mata wang asing, ketika itu beliau hanya mendapat arahan dan bertanggungjawab melapor kepada Ke­tua Pedagang dan Penasihat Pengurusan Tertinggi BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Mengenai tugasnya, Azman berkata, beliau mene­rima arahan daripada Nor Mohamed dan Ketua Pedagang untuk membeli mata wang asing sebelum menghubungi ‘counter parties’ bank komersial negara luar untuk transaksi.

Katanya, BNM ketika itu mempunyai empat pedagang mata wang asing termasuk Ketua Pedagang dan semua arahan dikeluarkan Nor Mohamed dan Ketua Pedagang.

Katanya, mengikut amalan, setiap pedagang diberi had antara AS$5 juta dan AS$10 juta untuk berurus niaga manakala had Ketua Pedagang lebih tinggi.

Jelasnya, oleh kerana mereka mendapat arahan daripada Ke­tua Pedagang dan Nor Mohamed, tiada had bagi setiap transaksi namun tidak mengingati nilai transaksi tertinggi yang pernah dilaksanakan dalam sehari.

Saksi itu turut ditanya oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla selaku peguam pemerhati bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kehadiran bekas Perdana Menteri itu ketika majlis pelancaran bilik daga­ngan tukaran mata wang asing di London, United Kingdom.

Azman mengaku mengetahui kehadiran Dr. Mahathir namun tidak tahu berapa ramai yang mengiringi beliau, tempoh di sana atau berlaku transaksi dagangan mata wang asing.

Suruhanjaya turut mende­ngar keterangan saksi ke-19 iaitu Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil yang ketika itu, bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Kewangan, Perbendaharaan.

Katanya, Ketua Audit Negara ketika itu tidak bersetuju mengeluarkan `sijil bersih’ bagi akaun BNM bagi tahun berakhir 31 Disember 1992.

Saksi berkenaan bagaimanapun mengaku tidak mengetahui mengapa wujud perubahan keputusan Ketua Audit Negara yang akhirnya bersetuju mengeluarkan `sijil bersih’ bagi akaun berkenaan.

Ujar Hadenan, 71, Perbendaharaan tidak dipertanggungjawabkan untuk memantau ope­rasi BNM kerana bank pusat itu tertakluk kepada undang-undang sendiri manakala kawalan dalaman di atas bank itu terletak di bawah Lembaga Pengarah­nya.

Beliau turut mengaku tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Gabenor BNM ketika bank pusat itu mengalami kerugian ekoran urus niaga mata wang asing di antara tahun 1990 dan 1994.