ZULKIFLI ABD. RAZAK
ZULKIFLI ABD. RAZAK 

Selain kapal korek, terdapat banyak kapal perdagangan yang datang berlabuh di negeri ini dan ditinggalkan dalam jangka masa lama hingga menyebabkan kawasan aktiviti nelayan semakin sempit serta mengganggu kehadiran hasil laut.

Ketua Komuniti Nelayan Pangkalan Tanjung Kling, Mustapah Jaapar, 57, berkata, pihak berkuasa sepatutnya mewujudkan satu kawasan khas untuk kapal-kapal tersebut berlabuh tanpa mengganggu kawasan yang menjadi tempat nelayan mencari rezeki.

“Masalah timbul apabila kapal-kapal ini berlabuh sesuka hati tanpa kawalan, pukat yang digunakan nelayan akan tersangkut pada sauh kapal bila dibawa arus dan jika tidak bernasib baik, ia akan rosak.

“Sekeping pukat berharga sekitar RM200 dan setiap nelayan biasanya menggunakan hingga tiga keping pukat dalam satu-satu masa. Jika semua­nya rosak bagaimana? Sudahlah hasil laut pun kurang, pukat pula rosak terkena sauh kapal.

“Kami berharap kerajaan ne­geri dapat memainkan peranan mengawal perkara ini dengan mewujudkan satu kawasan khas bagi kapal-kapal tersebut berlabuh dan ambil tindakan tegas kepada pemilik ingkar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang nelayan, Aman Mat Zin, 56, memberitahu, aktiviti kapal berlabuh dan tambakan laut adalah punca utama hasil tangkapan nelayan semakin berkura­ngan.

“Ada antara kami pulang dengan hasil tangkapan RM20 sahaja sehari. Duit minyak bot sahaja sudah RM40. Maka ada antara nelayan yang terpaksa turun ke laut dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam untuk menggandakan pendapatan mereka.

“Jika dahulu sebelum ada aktiviti tambakan laut, ramai nelayan yang turun ke laut hingga tidak cukup tangan tetapi hari ini keadaan sudah berubah, nelayan semakin terhimpit,” ujarnya yang turut menjalankan perniagaan menjual ikan segar di Kampung Hailam, Tanjung Kling.

Bagi Zulkifli Abd. Razak, 41, kapal-kapal tersebut perlu ada kawalan oleh pihak berkuasa kerana kehadirannya menyebabkan aktiviti nelayan semakin sempit.

“Kami bukan nelayan laut dalam, kami hanya nelayan pesisir pantai dan mencari rezeki menggunakan bot kecil sahaja. Jika banyak kapal berlabuh di pesisir pantai bagaimana hendak menangkap ikan yang sememangnya sudah semakin berkurangan?

“Disebabkan masalah tersebut, ada antara kami terpaksa menaiki bot selama lebih sejam ke lokasi lain untuk menangkap ikan kerana jika bergantung harap dengan kawasan sama sahaja, mungkin pulang dengan tangan kosong,” luahnya.