Fakta inilah yang dibuktikan benar oleh Sabri Ali yang berusia 54 tahun namun mampu melakukan aktiviti yang orang muda sendiri tidak mampu lakukan.

Lebih mesra dikenali sebagai Pak Sabri, baru-baru ini berjaya menamatkan program Kelulut Walk 2016 dengan berjalan kaki secara solo sejauh 2,109.17 kilometer selepas melalui 49 lokasi merentasi 14 negeri.

Kejayaan ini membolehkan Pak Sabri digelar “Pejalan Kaki Solo Terjauh” (Longest Distance Solo Walking Tour) dalam The Malaysia Book of Records 2016 sesuai dengan tugasnya yang dilantik sebagai Duta Kelulut Walk 2016.

“Madu kelulut benar-benar telah meningkatkan kecergasan tubuh badan saya sehingga mampu membantu saya merentas ribuan kilometer bagi menjayakan program berjalan kaki secara solo mengelilingi Malaysia.

“Sejak mengamalkan pe­ngam­bilan madu kelulut tiga tahun lalu, saya menjadi lebih aktif dan tempoh masa perjalanan bagi setiap sesi di satu-satu lokasi yang saya jayakan menjadi lebih singkat masanya,” jelasnya mengenai “kehebatan” madu kelulut.

Sabri berkata, sejak memulakan perjalanan Kelulut Walk di Selangor pada 8 Oktober lalu, beliau begitu positif dan yakin dapat menamatkan cabaran berjalan kaki sejauh 2,000 kilometer ini.

“Namun tidak dinafikan cabaran yang menanti amatlah getir untuk diharungi. Yang paling mencabar keadaan cuaca yang amat panas terik dan keadaan jalan yang berbukit-bukit sedikit sebanyak memberi kesan kepada stamina dan pergerakan saya,” katanya.

Maka bagi memastikan beliau mempunyai momentum yang konsisten dan sentiasa cergas, Sabri mengamalkan pengambilan madu kelulut setiap hari.

“Setiap pagi saya akan minum air kosong yang dicampur dengan madu kelulut. Ternyata amalan ini yang saya amalkan sejak tiga tahun lalu benar-benar memberi kesan terhadap stamina saya,” katanya.

Mengulas mengenai pengalaman beliau di setiap destinasi hentian Kelulut Walk 2016, Sabri dapat melihat penerimaan yang sangat positif dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Di setiap hentian akhir, saya disambut dalam pelbagai cara oleh agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta penduduk tempatan.

“Mereka begitu teruja menyambut ketibaan saya dan dalam masa yang sama mereka tidak putus-putus memberikan kata semangat untuk saya bagi menjayakan program Kelulut Walk 2016 ini,”

Sabri bertugas sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Kemaman, Terengganu dan merupakan seorang bapa kepada tujuh orang anak.

“Bukan mudah untuk saya menjayakan program seum­pama ini, lebih-lebih lagi usia yang mencecah enam siri, namun saya percaya di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tiada jalan pintas untuk berjaya.

“Namun madu kelulut benar-benar membantu stamina untuk saya terus kekal cergas dan kuat.

“Alhamdulillah, dengan so­­kongan semua pihak, saya lebih bersemangat untuk merealisasikan impian berjalan ke seluruh negara untuk mempromosi madu kelulut dan gaya hidup sihat,” kata­nya.