Pegawai pinjaman sebuah bank di ibu negara, Harry Yap berkata, jika dahulu, proses permohonan biasanya tertakluk kepada pegawai bank dan pengurus menilai permohonan tetapi kini bank sudah dilengkapi sistem yang dapat mengetahui taraf pemohon tersebut sama ada layak atau tidak.

“Melalui sistem tersebut, pegawai akan meneliti permohonan yang dibuat dengan kadar pendapatan dan tanggungan mengikut nisbah yang membolehkan pemohon dapat membayar balik pinjaman yang dibuat.

“Selain daripada itu pegawai bank juga akan meneliti Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan Sistem Maklumat Kewangan (FIS) Bank Negara untuk menyemak sejarah pinjaman pemohon sebelum itu,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Permohonan ke beberapa bank serentak menyebabkan bank tidak mempunyai maklumat mengenai permohonan lain me­lainkan ia telah termasuk di dalam sistem FIS sama ada permohonan diluluskan, ditolak mahupun dalam proses.

Harry Yap berkata, sistem memerlukan masa untuk dikemaskini sebelum boleh disemak sama ada permohonan itu sedang dibuat atau sebagainya dan ia akan mengambil masa beberapa hari.

Menurutnya, apabila sistem telah dikemaskini barulah permohonan lain pemohon akan tercatat dalam sistem tersebut bagi membolehkan pegawai bank membuat panggilan kepada pemohon sama ada mahu teruskan atau tidak.

Tambahnya, pemohon biasa­nya akan memaklumkan bahawa dia sedang menilai tawaran yang dikemukakan oleh pihak bank dan memilih yang terbaik. Perkara itu biasa berlaku kerana pemohon akan mencari pinjaman sewa beli yang lebih menjimatkan.

“Namun apa yang terjadi apabila kesemua bank yang dimohon meluluskan pinjaman, pemohon akan menandatangani perjanjian dengan semua bank untuk membolehkan dia mendapatkan semua kereta yang dihajati,” jelasnya.

Harry Yap berkata, jika bank telah melakukan bayaran kepada penjual (syarikat kenderaan) maka perjanjian sewa beli telah berjalan dan sukar untuk ditamatkan kerana ia akan melanggar perjanjian yang telah ditandata­ngani.

Menurutnya, bank biasanya akan mengambil tindakan apabila penghutang gagal membayar pinjaman yang telah ditetapkan mengikut tempoh tertentu se­perti mengeluarkan surat amaran dan juga menarik kenderaan.

“Pinjaman sewa beli berdasarkan perniagaan, selagi mana bank menerima bayaran bulanan mengikut kadar yang ditetapkan melalui perjanjian maka urusan tersebut tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya.