Katanya, sebagai Perdana Menteri yang prihatin terhadap nasib penduduk bandar dan luar bandar, beliau tidak akan berhenti melaksanakan amanah itu.

Tambah beliau, ini termasuk menjaga kebajikan rakyat Kedah kerana tidak semestinya mereka hanya memerlukan Perdana Menteri dari negeri itu untuk membantu penduduknya.

“Walaupun saya berasal dari Pahang, saya akan tetap membantu Kedah kerana Kedah ialah ‘jantung hati’ UMNO dan BN (Barisan Nasional).

“Depa nak kata apa, katalah, tetapi saya tidak akan berganjak (membantu rakyat),” katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Perasmian Kabel Dasar Laut Melalui Sistem Grid Kebangsaan di Pulau Tuba di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Menteri Pendi­dikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pembinaan kabel berkenaan yang diluluskan peruntukannya sebanyak RM46 juta pada 2012, siap sepenuhnya selepas 18 bulan dan telah memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 orang penduduk di pulau tersebut.

Lawatan itu adalah kali kedua beliau sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, penduduk di situ terpaksa menggunakan jana kuasa untuk mendapatkan elektrik namun bekalannya tidak stabil kerana sering kali terputus.

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM700,000 menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pelbagai projek rakyat.

Projek berkenaan adalah pembinaan sebuah jeti penumpang di Tanjung Pandan di sini melibatkan peruntukan berjumlah RM600,000, pendawaian semula sebanyak 30 buah rumah (RM60,000) dan pembinaan 38 tiang lampu jalan.

Selain daripada itu kerajaan turut meluluskan pembaikan rumah rakyat di situ berjumlah RM800,000 dan pembinaan sebuah mini stadium yang akan diumumkan dalam Bajet 2018.