Pengarah Urusan Andaman Property Management Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Vincent Tiew berkata, isu rumah kongsi menyebabkan masalah kesihatan dan masalah sosial setempat hanya merupakan satu dakwaan.

Katanya, sebagai pemaju dan kontraktor binaan, pihaknya akan memastikan keperluan asas pekerja disediakan seperti bekalan air bersih, tandas dan tempat tidur yang selesa.

Beliau memberitahu, pekerja binaan yang tinggal di tapak pembinaan juga boleh memulakan tugas tepat pada masa selain menjimatkan kos pengangkutan ke tempat kerja setiap hari.

“Jika kita mempunyai 200 pekerja binaan, pemaju dan kontraktor perlu menyediakan empat hingga lima buah bas sehari untuk pengangkutan mereka ke tempat kerja yang turut meningkatkan kos. Malah, adalah satu perkara yang mustahil tempat penginapan pekerja binaan boleh disediakan di kawasan berhampiran tapak pembinaan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof kelmarin yang menyatakan kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk tidak membenarkan rumah kongsi pekerja asing dalam kawasan tapak pembinaan kerana didapati membawa pelbagai ancaman dan kebimbangan kepada ke­selamatan, kesihatan dan sosial masyarakat setempat.

Fadillah berkata, pihaknya sedang memperincikan pelaksanaan larangan itu termasuk mengadakan perbincangan de­ngan syarikat pembinaan utama agar dapat menyediakan penempatan yang lebih teratur dan tersusun kepada pekerja asing mereka.

Inisiatif itu bertujuan menjaga aspek keselamatan dan kesihatan termasuk dari sudut sosial berikutan penduduk setempat kebingungan dengan kebanjiran pekerja asing yang tinggal di tapak pembinaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf), Tukiman Radion berkata, kerajaan digesa membina sebuah pusat penginapan setempat pekerja asing bagi menangani masalah rumah kongsi di tapak pembinaan.

Beliau berkata, pusat penginapan setempat boleh dibangunkan secara kerjasama awam dan swasta serta boleh menggunakan konsep sewa kepada pemaju dan kontraktor binaan.

Katanya, pusat penginapan setempat ini juga perlu mempunyai sistem pemantauan dan sekuriti yang ketat bagi mengawal pergerakan keluar masuk pekerja binaan.

“Jika pekerja asing ditempatkan di kawasan kejiranan perumahan awam, sudah tentu mendatangkan isu berbangkit di kemudian hari termasuk mengganggu ketenteraman masyarakat setempat.

“Melalui pembinaan pusat penginapan setempat, masalah rumah kongsi dijangka selesai. Saya tidak nafikan di rumah kongsi, pelbagai gejala sosial berlaku seperti sabung ayam, penagihan dadah dan ganja, mencuri, pecah rumah serta pelbagai masalah sosial lagi,” katanya.