Perlis - KANGAR, 05 MEI 2016 - Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah
Sahol Hamid Abu Bakar

Namun persoalan yang berlegar di fikiran Perdana Menteri itu terjawab dengan kelibat naib-naib canselor berkenaan di atas pentas program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017.

Usaha mengumpulkan pemimpin-pemimpin universiti itu yang bukan tugas mudah, antaranya hasil inisiatif Pengerusi JPB, Prof. Emeritus Tan Sri Prof. Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Ketika dihubungi semalam oleh wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL, Sahol Hamid memberitahu beberapa tarikan terbaharu JPB kelolaan Destini Anak Bangsa dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu kali ini.


Utusan Malaysia: Apa antara pembaharuan JPB 2017 ini?

SAHOL HAMID: Tahun lalu, tumpuan jelajah ini ditumpukan kepada program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) iaitu untuk kemasukan ke Kolej Komuniti, Politeknik, GiatMara dan UiTM.

Tetapi untuk JPB 2017 ini, atas permintaan Perdana Menteri supaya peluang pelajar dari isi rumah berpendapatan rendah (B40) diperluaskan untuk kemasukan ke universiti awam, maka saya telah berjumpa dengan setiap VC dari 19 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk memohon kerjasama mereka menyediakan minimum 200 tempat yang diambil mengikut Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU). Alhamdulillah, semua VC berkenaan bersetuju termasuk ada tawarkan lebih 200 tempat. Hasilnya kira-kira 4,000 tempat ditawarkan.

Ini bermakna peluang untuk pelajar dari B40 memasuki universiti kini ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang’?

Kelonggaran ini memberi peluang kepada kira-kira 4,000 lepasan SPM, matriks, asasi dan lepasan STPM iaitu tidak bermakna untuk lepasan tahun 2016 sahaja, tetapi terbuka untuk lepasan tahun 2012, 2013, 2014 dan 2015. Mereka ini boleh mengikuti segala kursus termasuk yang kritikal seperti kejuruteraan. Kemasukan tidak berlandaskan merit tetapi asalkan penuhi syarat kelayakan minimum dan ibu bapa bergaji

di bawah RM2,000. Dalam hal ini, kita tidak ambil atau `curi’ tempat pelajar lain (yang masuk universiti berdasarkan merit) sebab memang ada kemasukan program khas JPB ini orang miskin.

Bagaimana pelajar hendak memohon masuk universiti melalui JPB ini?

Mereka yang berminat perlu hadir dalam siri jelajah kami. Dalam JPB itu nanti, kami akan dapatkan maklumat pelajar dan universiti berkenaan akan keluarkan tawaran secara terus kepada pelajar. Kami juga ada muat naik aplikasi JPB4U dalam telefon bimbit dengan pangkalan datanya untuk membolehkan pelajar mendapat maklumat me­ngenai JPB.

Difahamkan ada lagi penambahbaikan dalam JPB kali ini?

Ya, biasanya pelajar miskin yang hendak memulakan pengajian, ibu bapa mereka tidak mampu menyediakan wang pendahuluan, maka JPB kali ini bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk tujuan ini. Bank Rakyat akan memperuntukkan RM3 juta untuk menampung 2,000 pelajar miskin program JPB ini. Peruntukan ini akan disalurkan terus kepada pelajar. Dengan ini tiada sebab pelajar miskin tolak surat tawaran.

Apa harapan Tan Sri untuk JPB 2017?

Terima kasih atas kerjasama daripada naib-naib canselor yang berhati mulia ini. JPB di Sabah melibatkan lima tempat di Kota Marudu, Kota Belud, Sandakan, Keningau dan Lahad Datu telah menarik minat kira-kira 5,638 pelajar. Banyak surat tawaran dikeluarkan. Marilah hadir ke siri jelajah JPB dalam waktu terdekat ini.