Namun adalah satu kesilapan yang besar jika kita menganggap fungsi nanas semata-mata untuk dijadikan ‘pembasuh mulut’ atau sekadar jus untuk menuman.

Ini kerana menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), Mohd. Khairuzamri Salleh, terdapat 1,001 faedah daripada nanas sebagai bahan makanan dan bahan bukan makanan.

“Kalau bercakap mengenai resepi masakan nanas sahaja, terlalu banyak. Tetapi apabila bercakap tentang faedah bukan makanan pula, kita boleh menghasilkan pelbagai produk termasuk untuk makanan haiwan ternakan, membuat kertas dan sehingga untuk membuat bahan kosmetik.

“Kandungan enzim bromlin yang terdapat pada empulur dan daun nanas misalnya boleh dijadikan bahan penting untuk pengeluaran barangan kosmetik.

“Oleh sebab itu, orang dulu-dulu menggemari empulur nanas sebagai makanan dan mereka tidak menghidap penyakit kanser kerana enzim ini kuat mengan­dungi anti oksida,” katanya.

Justeru itu, Khairuzamri meminta orang ramai mengunjungi Planet Nanas di Laman Nanas dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) yang sedang berlangsung sejak 1 Disember lalu sehingga 11 Disember ini bagi mendedahkan mereka dengan industri nanas.

Khairuzamri yakin pengunjung yang melawat Planet Nanas pasti akan menghabiskan masa yang lama di situ berbanding yang mereka sangkakan.

“Rata-rata akan mendapati Planet Nanas seperti satu dunia baharu mengenai nanas. Terdapat banyak info baharu dan menarik mengenai nanas didedahkan di situ (Planet Nanas).

“Di sini juga (Planet Nanas) segala sejarah tentang industri nanas selama 60 tahun di negara ini ada disimpan dan menunggu untuk dikongsi bersama dengan pengunjung,” katanya.

Menurutnya, Planet Nanas merupakan sudut Infotainmen terbesar mengenai nanas. Selain itu, terdapat aktiviti menarik untuk disertai pengunjung di situ.

“Selain dipamerkan pelbagai bahan-bahan menarik mengenai nanas, orang ramai juga berpeluang menyertai demo masakan berasaskan nanas, kanak-kanak pula berpeluang untuk mewarna lukisan menggunakan kertas yang diperbuat daripada serat nanas, serta diadakan demo me­raut benang nanas, pertandingan makan nanas, ujirasa nanas dan banyak lagi,” katanya.

Katanya, Planet Nanas sangat mengalu-alukan mereka yang ingin mengusahakan tanaman nanas untuk makanan sendiri mahupun untuk komersial.

“Kami di sini sedia berkongsi pelbagai maklumat bagi membantu pengusaha nanas mencapai impian sehingga menjadi jutawan. Tidak ada apa yang mustahil mengenai nanas. Malah tanaman ini boleh ditanam di tanah bukit dan bukan atas tanah gambut semata-mata,” katanya.

Pengusaha juga tidak perlu lagi membakar pokok-pokok nanas selepas buahnya dituai tetapi hanya perlu dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam mesin untuk dihancurkan bagi dijadikan platlet makanan ternakan.

“Tahukah anda bahawa dengan menggaulkan nanas dan diperap dengan daging ayam ‘pencen’ misalnya boleh menjadikan ayam itu kembali ‘muda’ (kurang liat dan lebih lembut’),” katanya.

Berada di Laman Nanas di MAHA 2016 akan menyempurnakan kunjungan anda ke MAHA 2016.

Tanpa mengunjungi Laman Nanas seperti anda tidak mengunjungi MAHA 2016 walaupun anda sebenarnya telah mengunjunginya berkali-kali.