Bagaimanapun, titah baginda, penceramah jemputan dari luar negara dibenarkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam serta Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

Baginda bertitah, arahan tersebut penting sebagai salah satu pendekatan untuk mengelak penularan dan penyebaran doktrin yang salah dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor.

“Masjid adalah tempat untuk beribadat, belajar, berbincang me­ngenai ilmu agama bagi meningkatkan lagi tahap keimanan dan kualiti dalam ibadat.

“Masjid bukanlah tempat menyebarkan fitnah dan berita yang tidak tepat serta hasutan untuk membenci seseorang atau memboikot sesuatu.

“Masyarakat Islam di zaman moden dan serba canggih ini perlu bijak dalam memilih sumber maklumat sebagai panduan dalam kehidupan,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian semasa istiadat pengurniaan watikah pelantikan kepada 827 imam melibatkan masjid negeri, masjid daerah, masjid diraja, masjid naik taraf, masjid istana dan masjid kariah di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dan Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid.

Dalam pada itu, baginda turut berkenan mengingatkan imam di negeri ini supaya lebih peka dalam menghadapi cabaran dan ancaman yang mencemar agama Islam serta usaha-usaha untuk mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman negara.

“Ancaman-ancaman ini yang datang daripada umat Islam sendiri melalui beberapa pendekatan antaranya kumpulan militan Negara Islam (IS), pendekatan fahaman pluralisme dan liberalisme, gerakan antihadis serta golongan sesat se­perti kumpulan Qadiani.

“Selain itu, terdapat juga pendekatan tarekat iaitu penyeleweng­an akidah yang dibawa melalui amalan bertarekat dan lain-lain ajaran sesat yang salah di sisi agama Islam. Justeru, imam-imam mesti menekankan bahawa kita di Selangor ini mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah ba­ginda lagi.