MOHD. RAZALI MAMAT

Demikian pendapat pemandu-pemandu bas ekspres di Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini apabila ditanya mengenai ke­per­luan pemandu bas dalam memastikan selamat ke destinasi.

Menurut mereka, keperluan itu merupakan perkara asas yang wajar disediakan pihak pengusaha bas terutama bagi perjalanan jaraknya melebihi 300 kilometer (km).

Mohd. Razali Mamat, 49, yang memandu bas ekspres dari Johor Bahru ke Pulau Pinang berkata, syarikatnya menyediakan pemandu kedua bertujuan menjamin keselamatan penumpang.

Dia yang sudah menjadi pemandu bas lebih 10 tahun berkata, lazimnya selepas empat jam memandu akan berganti dengan rakannya.

“Pemandu kedua penting untuk menjamin stamina pemandu. Jika berlaku kecemasan seperti salah seorang pemandu tidak sihat, pemandu kedua ambil alih tugas,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian pukul 3.45 pagi di Km 137.3 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Pagoh, Sabtu lalu, sebuah bas ekspres dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur terlibat kemala­ngan meng­akibatkan 14 maut dan dikaitkan antaranya dengan ke­tiadaan pemandu kedua.

Bagi Fauzan Hashimi, 26, yang sudah dua tahun memandu bas ekspres berkata, pemandu bas perlukan rehat yang cukup bagi memastikan tidak letih atau hilang fokus ketika memandu.

“Dalam satu hari saya memandu empat trip iaitu dua trip dari Johor Bahru dan dua trip dari Melaka. Waktu rehat yang ada akan saya gunakan sebaik mungkin bagi menjamin keselamatan penumpang,” kata­nya yang berasal dari Sabah.

Di KUALA LUMPUR, Presiden Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan cadangan supaya gaji pokok pemandu bas dinaikkan tidak semestinya menjamin penurunan kes kemalangan melibatkan bas ekspres.

Beliau menyarankan pengusaha mengehadkan tempoh masa bekerja pemanduan bas kepada lapan jam sehari dengan dua jam rehat bagi setiap perjalanan dalam usaha menangani masalah itu.

“Masalah utama adalah sikap pemandu bas ekspres sendiri dan juga soal kebajikan yang diambil syarikat pengusaha bas terhadap pemandu mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar semalam supaya pengusaha menawarkan gaji pokok lebih tinggi kerana budaya mengejar komisen dipercayai menjadi punca pemandu bas keletihan, tidak cukup rehat dan berlaku kemalangan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman sebaliknya menyokong cadangan menaikkan gaji pokok lebih tinggi kepada pemandu bas.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna-pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM), Ajit Johl berkata, industri bas ekspres sudah begitu lama dan sepatutnya mempunyai sumber kewangan untuk meningkatkan keselamatan penumpang dan tidak perlu dipaksa meningkatkan gaji pemandu.