Seorang pekebun kecil sawit, Hassan Said, 58, dari Kampung Batu Hampar Dalam, Trong di sini berkata, dengan pungutan hasil sawit yang tidak sampai satu tan metrik sebulan, pendapatan bersih yang diperoleh mereka adalah kurang RM200 selepas ditolak upah mengait dan sewa lori.

“Harga sawit sudah turun kepada RM260 satu tan, kami hendak makan apa? Memang (terpaksa) pekin (jimat) habis. Kalau hendak ke pasar malam, fikir tiga empat kali dahulu kerana sekali pergi, sudah tentu RM30 habis dibelanjakan. Harga ikan te­menung (kembung) pun sudah ce­cah sekilo RM15.

“Kami hendak berlawan dengan estet, sudah tentu me­­reka ada pasaran sendiri. Lagipun, mekanisme harga Felda de­ngan pekebun kecil tidak sama kerana kualiti buah sawit berbeza. Pokok (sawit) pekebun kecil berbuah juga, tetapi ada yang berbuah tetapi tiada minyak sebab baja kurang. Namun, harga baja tidak turun-turun juga walaupun tiada lagi cukai barang dan perkhidmatan (GST),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pe­niaga kedai makan, Mazrie Mohd. Zainuddin, 34, mengakui perniagaannya juga menerima kesan apabila kuasa membeli dalam kalangan penduduk di sini semakin berkurangan.

“Orang datang ke kedai hanya untuk minum sahaja dan tidak me­me­san ma­kanan,” ka­tanya keti­ka ditemui di Kam­pung Sungai Baru.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Jamilah Zakaria, yang berkata 40 peratus penduduk di kawasannya terdiri daripada pekebun kecil sawit, meminta kerajaan mencari mekanisme yang dapat membantu mereka yang terkesan akibat kejatuhan harga komoditi itu.

Menurut Jamilah, kesan pendapatan yang rendah itu juga menyebabkan para peniaga di beberapa pasar malam di Trong, Temerlok, Sungai Kerang dan Matang Acheh merungut ekoran kurangnya kehadiran orang ramai untuk membeli.