Kadi Be­­sar Nege­ri Johor, Anoar Sarimin berkata, antara masalah yang kerap berlaku membabitkan soal jodoh yang tidak berkekalan.

Menurut beliau, lebih teruk dalam sesetengah kes wanita warga tempatan itu ditinggalkan begitu sahaja.

“Perkahwinan membabitkan wanita warga tempatan dengan lelaki warga Pakistan di negeri ini tidak terlalu besar jumlahnya, tapi memang ada masalah akhirnya.

“Sebahagian daripada pasangan tersebut jodohnya tidak panjang, malah ada yang ditinggalkan begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu perkahwinan antara lelaki Pakistan dan wanita tempatan yang didakwa merupakan taktik mereka untuk tinggal di negara ini lebih lama bagi tujuan berniaga.

Utusan Malaysia hari ini me­laporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mengesan terdapat warganegara Pakistan mengambil kesempatan berkahwin dengan wanita tempatan bagi tujuan tinggal lebih lama di negara ini untuk berniaga.

Pengarahnya, Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapat rungutan masyarakat terutama peniaga tempatan apabila semakin ramai warganegara terbabit mengambil kesempatan berkenaan.

Tambahnya, setakat ini pi­haknya mendapati 400 warga Pakistan berkahwin dengan wanita tempatan di negeri itu dan sebanyak 10 hingga 15 kes dibatalkan permit ekoran me­lakukan kegiatan yang mana JIM Kelantan mengesan warganegara itu tidak tinggal de­ngan isteri dan hanya berkahwin untuk tujuan tertentu.