Hasil tinjauan Utusan Malaysia di pasar borong utama negara, baru-baru ini mendapati wujud lambakan cili berkenaan yang dijual oleh pemborong sebelum dibeli oleh peniaga kecil dan peruncit

Menurut sumber, Kementerian Pertanian sudah mengambil langkah proaktif untuk menghalang kemasukan cili yang mengandungi sisa racun perosak yang tinggi bagaimanapun amat malang ia masih me­nembusi pasaran.

“Secara jelas, kalau bukan memasuki pintu masuk (pelabuhan utama) sudah pasti ia bolos melalui penyeludupan.

“Kementerian berkenaan te­lah melakukan tanggungjawabnya, tetapi persoalan masih banyak pihak yang mempunyai kuasa namun tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pada 22 Ogos lalu, Laporan Khas Utusan Malaysia mendedahkan Malaysia menjadi pusat lambakan hasil pertanian eksport negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain.

Susulan laporan itu, Kementerian Pertanian menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas sembilan kontena bagi meneliti kualiti termasuk Tahap Maksimum Residu (MRL) racun perosak cili import yang dibawa masuk dari Vietnam di Pelabuhan Klang pada 26 Ogos lalu.

Rentetan itu, pihak kementerian termasuk Jabatan Pertanian turut memperlihatkan komitmen dengan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) mengawal kemasukan sayur-sayuran import berpenyakit dan beracun tinggi,

Malah, kementerian bersedia membantu petani untuk menghantar petisyen antilambakan ke negara yang membekalkan hasil pertanian tidak selamat selain Jabatan Pertanian meng­umumkan penggantungan IP pada 14 September lalu.

Mengulas lanjut sumber turut berharap beberapa kementerian lain yang mempunyai akta dan kuasa namun tidak mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita ada Akta Makanan 1983 yang boleh mendakwa peniaga yang menjual bahan makanan berbahaya.

“Mereka sepatutnya menggunakan kuasa yang ada demi melindungi jutaan pengguna, bukan itu sahaja jika benar ia masih masuk di pelabuhan maka kita ada Jabatan Kastam, kita berharap mereka boleh bekerjasama untuk kebaikan semua,” ujarnya.