Sebaliknya, Rahmat memang akan mendermakan hatinya untuk Auliya dalam satu pembedahan yang akan dijalankan di Shanghai, China pada Februari ini berikutan masalah kegagalan organ itu dihidapi Auliya sejak berumur 16 hari.

Namun, kos pembedahan itu bukanlah kecil. Rahmat dan isteri, Yussilawati Abu Bakar, 40, perlu menyediakan dana kira-kira RM160,000 bagi membiayai pembedahan tersebut.

Pasangan tersebut sudah buntu memikirkan apakah cara lain untuk mengumpul duit bagi me­ngubati anak kesayangannya itu.

Maka demi masa depan Nor Auliya, Rahmat dan isterinya terpaksa memohon belas ihsan rakyat Malaysia menyumbang sedikit wang bagi merea­lisasikan impian melihat puteri mereka kembali sembuh.

“Dengan taraf pekerjaan dan gaji bulanan kami, memang tidak mampu sediakan dana sebanyak itu.

“Namun, demi Auliya, kami perlu juga berusaha mendapatkannya. Kami sangat berharap orang ramai dapat membantu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yussilawati bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan manakala Rahmat sebagai pengawal keselamatan.

Sebelum ini, Nor Auliya pernah menjalani pembedahan ketika berumur 66 hari namun hasilnya kurang memberangsangkan.

Keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga berulang-alik dari rumah di Beseri, Perlis ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah setiap hari selama tiga bulan bagi menjalani pemeriksaan rutin.

“Selepas itu Auliya dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan menyarankan kami ke China menjalankan pembedahan pemindahan hati oleh doktor pakar di sana,” katanya.

Mereka yang prihatin dengan nasib anak kecil itu dan ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Yussilawati bernombor 162302515482 atau menghubunginya di talian 017-551 4590.