Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, antara bidang perkhidmatan yang dilihat boleh dieksport adalah guaman, kejuruteraan, perkilangan serta minyak dan gas.

“Dengan mengeksport bidang perkhidmatan di negara ASEAN, orang ramai tidak lagi perlu bimbang soal peluang pekerjaan di negara ini kerana boleh memperolehnya di luar negara. Perkara ini sekali gus memberi peluang kerja kepada graduan kita di luar negara.

“Oleh itu, universiti tempatan perlu memahami persekitaran ekonomi dalam negara-negara ASEAN agar graduan yang dilahirkan nanti bersesuaian dan memenuhi keperluan pasaran serta industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya 2017 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dekat sini, hari ini.

Karnival Kerjaya UTM selama dua hari itu menawarkan lebih 4,000 peluang pekerjaan membabitkan 58 buah syarikat untuk rakyat di negeri ini serta lepasan graduan.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Wahid Omar berkata, UTM akan kekal komited melahirkan graduan berkualiti yang mampu menepati permintaan pasaran kerjaya di negara ini.

Menurutnya, statistik tahun lalu menunjukkan UTM mempunyai kebolehpasaran lepasan graduan sebanyak 71 peratus dan majoritinya dalam bidang-bidang kejuruteraan, pengurusan, seni bina dan sains.

“Walaupun faktor ekonomi memberikan kesan kepada peluang pekerjaan, perkara itu boleh diatasi dengan bekerja sendiri. Malah ada juga pelajar kita menyertai program pasca graduan UTM selain mendapatkan pekerjaan di Asia Barat dan Singapura.

“Apa yang penting, pelajar perlu disiapkan dengan pengalaman kerja sebenar dalam kelas bagi mempersiapkan diri apabila menamatkan pengajian. Pada bulan lalu, 30 pelajar dari satu kelas diambil bekerja oleh sebuah syarikat cip komputer sebab mereka tertarik dengan kejayaan pelajar kita,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE