Ramli yang merupakan anak tempatan dan berketurunan Orang Asli berkata, sebahagian besar Orang Asli di sini sudah mengenali beliau dan berharap mereka akan mengundinya pada 26 Januari ini.

Menurutnya, selain jentera kempen BN yang akan be­kerja keras, beliau yakin sebagai calon daripada keturunan Orang Asli, ini memberikan kele­bihan kepadanya.

“Masyarakat Orang Asli dari Pos Betau (Sungai Koyan) hingga ke Kampung Raja di sini 90 peratus adalah saudara saya. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program tinjauan mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Tanah Rata dan menemui peniaga di Pasar Tani Tanah Rata di sini hari ini.

Masyarakat Orang Asli mewakili 22 peratus daripada seramai 32,048 pengundi kese­luruhan di Parlimen Cameron Highlands manakala pengundi Melayu 34 peratus, Cina 30 pera­tus dan India 14 peratus.

Ramli berkata, beliau mahu menjadi Ahli Parlimen pertama dalam sejarah daripada keturunan Orang Asli.

Menurutnya, beliau mahu suara masyarakat Orang Asli di negara ini kedengaran di Parlimen.

“Dalam sejarah Malaysia, ada tak wakil rakyat Orang Asli di Parlimen? Tidak ada, jadi biar sejarah pertama kali di Malaysia seorang wakil rakyat yang dilantik oleh rakyat bersuara untuk rakyat di Parlimen kerana selama ini pun yang ada di Dewan Negara dilantik.

“Saya hanya mengharapkan masyarakat Orang Asli mengundi saya. Saya tak boleh komen lagi bagaimana sambutan pengundi di sini memasuki hari kedua berkempen, saya menyerahkan kepada mereka untuk menilai,” katanya.