Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Utara, Mohd. Nazri Za­­karia berkata, dianggarkan lebih 80 peratus pelatih di akademi tersebut berjaya mendapat pekerjaan selain peluang memperoleh pendapatan tinggi dalam industri tersebut.

“Oleh kerana ramai yang ber­anggapan pekerjaan dalam industri pembinaan cukup berbahaya, sukar dan kotor dan lebih dikenali dengan jolokan pekerjaan 3D menyebabkan golongan belia tempatan tidak berminat menceburi bidang ini.

“Ramai yang tidak sedar industri pembinaan mampu menawarkan pendapatan tinggi jika mereka mempunyai kemahiran tinggi malah melebihi gaji yang diperolehi pelajar lepasan universiti.

“Dengan mengikuti kursus di sini selama tiga bulan, pelatih mungkin boleh mendapat gaji mencecah sehingga RM4,000 sebulan selepas bekerja kelak. Jika mereka mempu­nyai pengalaman, ti­dak mustahil mereka boleh mendapat gaji le­bih tinggi daripada itu,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Nazri, pi­haknya turut menyelitkan ilmu keusahawanan, kepimpinan dan keagamaan dalam kursus yang ditawarkan supaya pelatih le­pasan ABM Wilayah Utara dapat membentuk sikap dan budaya positif ketika memasuki alam pekerjaan.

Katanya, kerjasama erat de­ngan syarikat-syarikat dari da­lam dan lu­ar negara juga memboleh­kan Unit Penempatan Pe­kerjaan di ABM Wilayah Utara memudahkan pelatih mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.

“Kira-kira 90 peratus pelatih kita mendapat pekerjaan atau menjadi usahawan da­lam bidang pembinaan ini selepas tamat kursus. Hanya se­gelintir yang menukar bidang kerana ti­dak berminat menyertai industri pembinaan.

“Bagi memastikan pelatih ABM membabitkan diri dalam industri pembinaan selepas tamat latihan, kami merancang untuk menjalinkan kerjasama de­ngan Universiti Utara Malaysia (UUM) atau Universiti Malaysia Perlis (Unimap) untuk menjalankan penilaian psikometrik pada sesi pengambilan pada masa depan,” ujarnya.

Mohd. Nazri berkata, akademi itu menawarkan pelbagai kursus jang­ka pendek dan panjang antaranya kursus kimpalan, penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal, penjaga jentera elektrik serta operasi jengkaut.

“Di ABM kami melebihkan pem­belajaran di lapangan iaitu 80 peratus praktikal dan 20 peratus secara teori. Bagi memastikan kursus-kursus yang ditawar sentiasa mengikut kehendak pasaran kerja, kami menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sentiasa menilai modul pengajaran,” katanya.

Tambahnya, ABM Wilayah Uta­ra telah berjaya mengeluarkan se­ramai 18,114 pelatih mahir dalam industri pembinaan negara sejak ditubuhkan pada 2001.