Sambutan luar biasa itu melebihi jangkaan awal 50,000 tetamu pada majlis yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 4.30 petang itu.

Bagaimanapun, memandang­kan sambutan luar biasa dan keterujaan orang ramai untuk bersalam dan mengucapkan 'Selamat Hari Raya' kepada pe­mimpin berusia 92 tahun dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Moha­med Ali, pihak penganjur membuka pintu pagar awal sejam iaitu pada pukul 9 pagi.

Dr. Mahathir, yang mengenakan baju Melayu berwarna ungu dan Dr. Siti Hasmah dengan baju kurung moden, kelihatan begitu ceria menyambut tetamu dan bersalam dengan tetamu termasuk kepemimpinan parti politik, diplomat asing, pelancong, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan kepemimpinan kor­porat.

Terdahulu, Dr. Mahathir me­lahirkan keterujaan dan kegembiraan melihat semangat yang ditunjukkan oleh rakyat pada majlis tersebut kepada Pakatan Harapan (PH) yang menubuhkan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Walaupun Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah kelihatan agak keletihan setelah meraikan begitu banyak tetamu pada majlis itu, namun mereka tetap memberikan layanan dengan penuh kemesraan.

“Saya telah bersalaman de­ngan kira-kira 55,000 pengunjung. Takut tangan saya lekang (tertanggal) tetapi Alhamduillah, saya masih boleh bersalam,” katanya ketika berucap ringkas sebelum tamat majlis.

Cuaca panas tidak menjejaskan keterujaan orang ramai berpusu-pusu menghadiri majlis itu untuk mengambil peluang bersalam dengan Dr. Mahathir.

Para pengunjung ke majlis rumah terbuka itu dikenakan sa­ringan keselamatan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Hadirin disajikan dengan pelbagai juadah tempatan seperti sate, soto ayam, ketupat, lemang dan rendang serta pelbagai masakan lain. – BERNAMA