Lapan pakej yang dilancarkan ini merupakan sebahagian daripada 11 pakej jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang sedang giat dilaksanakan di pelbagai kawasan di Sarawak.

Pakej-pakej tersebut ialah Sematan ke Jambatan Sungai Moyan sepanjang 95km, Persimpangan Pantu ke Batang Skrang (89km), Batang Skrang ke Jambatan Sungai Awik (68km) dan Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor (64km).

Turut terlibat dalam pakej tersebut Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 64km, Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu (65km), Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap (77 km) dan Persimpangan Sungai Tangap ke Pujut Link Road (80km).

Pakej ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,089km Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Terdahulu, Najib berkata, pelancaran pakej ini adalah fasa pertama pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak membabitkan jumlah keseluruhan RM16.5 bilion dengan fasa pertama dijangka siap dalam tempoh lima tahun iaitu pada 2021.

Beliau berkata, fasa kedua pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo akan memberi fokus untuk memastikan perjalanan dari Sematan ke Sabah berjalan lancar tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang turut ber­ucap merakamkan penghargaan kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan kerana menunaikan janji membina Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.

“Kami memang menanti-nantikan lebuh raya ini dan kami sa­ngat sabar, kami ucapkan terima kasih,” katanya. – BERNAMA