Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, antara spesies yang ditanam ialah 500 pokok daripada jenis Duranta Gold, Texas Ranger, Chinese Fringe Flower, Akalifa Merah dan Akalifa putih-hijau.

Menurutnya, program tersebut melibatkan penyertaan kira-kira 400 peserta terdiri daripada 377 warga kerja Panasonic Management Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic); kakitangan MBSA; pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Eco-Warrior; pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (Unisel) serta sukarelawan individu.

“Program ini merupakan inisiatif dan kerjasama MBSA bersama Panasonic untuk menghijaukan landskap bandar raya ini.

“Panasonic telah menyumbang sebanyak RM35,000 kepada pihak MBSA bagi menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Shah Alam Trees For Life 2018 di sini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Landskap MBSA, Mohd. Yunus Suri; Ahli Majlis MBSA, Kamaruzzaman Sanusi dan Timbalan Pengarah Panasonic, Hiroyuki Imizu.

Shahrin menambah, MBSA juga amat komited untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

Jelas beliau, antara program-program berkaitan yang pernah dilaksanakan adalah Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau, Kebun Di Sekolah, Kebun Komuniti, trek basikal dan perkhidmatan Bas Selangor. - UTUSAN ONLINE