Acara bermula selepas ketibaan Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R.M Jasni pada pukul 7.30 pagi yang disambut oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan isteri, Puan Sri Faridah Tussin dengan diiringi menteri-menteri Kabinet negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali dan isteri, Datin Nuraini Habib Kadir.

Sambutan dimulakan dengan nyanyian lagi Negaraku dan Sabah Tanah Airku diiringi tembakan meriam sebanyak 17 das serta disusuli pemeriksaan kawalan kehormat utama oleh Juhar.

Persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyerikan lagi acara tersebut.

Juhar yang diiringi Panglima Markas Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat kemudian menaiki kenderaan khas bagi acara pemeriksaan perbarisan kontinjen yang terdiri daripada 85 pasukan.

Selesai acara rasmi itu, beliau dan isteri yang diiringi Musa berangkat meninggalkan majlis.

Sementara itu, pasukan Jabatan Penguat kuasa DBKK muncul johan dalam pertandingan perbarisan sempena sambutan itu bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing diraih Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi pula dimenangi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah manakala Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah serta Jabatan Ketua Menteri, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Pemenang lain bagi Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan/Persatuan/Etnik ialah Akademi Jahitan Kota Kinabalu, Kumpulan Yayasan Sabah (Kategori Swasta/Komersial), Komander Kesatria UiTM Sabah (Kategori IPTA/IPTS), Kadet Remaja Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka Tuaran (Kategori Sekolah Menengah) dan Pengakap Kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya (Kategori Sekolah Rendah).

Hadiah trofi dan sijil penyertaan kepada semua pemenang disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Masiung Banah yang mewakili Pengerusi Penganjur merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Maleh. - UTUSAN ONLINE