Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata mereka ini akan diberi surat tawaran pengakuan sukarela dan notis di bawah Seksyen 79 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP1976) bagi meminta maklumat tambahan dan penjelasan.

Katanya, mereka dikehendaki memberi maklum balas kepada LHDN dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis itu diserahkan.

"Kita ada program tersusun untuk memberi pemakluman kepada pembayar cukai iaitu mereka yang tidak menghantar borang, mempunyai maklumat pendapatan tapi mereka tidak laporkan dan mereka yang mempunyai akaun di luar negara.

"Kita sudah mempunyai maklumat itu yang dihantar oleh pentadbir cukai di luar negara kepada LHDN sejak September tahun ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Seminar Percukaian Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.


Sabin berkata, mereka yang gagal memberi maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan akan dikenakan denda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Sabin berkata sehingga 11 Nov lepas, kutipan pembayaran cukai meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas atas faktor keyakinan kepada kerajaan dalam mengurus kewangan negara.

Mengenai kekayaan luar biasa yang dimiliki individu tertentu tular dalam media sosial, Sabin berkata pihaknya mempunyai pasukan khas yang melakukan pemantauan terhadap perkara itu.


"Kita ada baca dan membuat penilitian dalam sosial media, surat khabar, majalah dan buat data matching dengan pendapatan yang mereka sudah laporkan," katanya.- BERNAMA\