Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, antara kesalahan yang dilakukan oleh warga asing terbabit ialah pemalsuan status pelajar, pasport rosak dan tempoh pasport yang hampir tamat.

Mustafar berkata, ada di antara warga asing itu juga diberikan notis atas sebab mereka tidak dituntut oleh majikan selepas tiba di negara ini iaitu dalam tempoh enam jam sepertimana yang telah ditetapkan.

“Warga asing yang dikenakan NTL ini kita terpaksa hantar pulang, bagi kes tidak dituntut oleh majikan, ada di antaranya terpaksa tunggu sehingga tiga hari, jadi kita tiada pilihan dan perlu hantar mereka pulang.

“Bagi kes pemalsuan status pelajar, ada warga asing yang melampirkan surat tawaran palsu selain institusi pendidikan yang dimaklumkan telah ditutup dan tidak beroperasi di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Mustafar hari ini menghadiri Majlis Sambutan Hari Imigresen 2018 peringkat Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Dalam perkembangan lain, Mustafar memaklumkan sebanyak 46,630 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan melalui 14,250 operasi yang dijalankan oleh pihaknya di seluruh negara bermula 1 Januari lalu.

“Sebanyak 1,367 majikan yang melanggar undang-undang juga telah dikenakan tindakan serta sedang dalam proses pendakwaan, saya percaya masih ramai majikan yang degil, jadi penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan.

“Daripada lebih 46,630 PATI yang ditahan, ketika ini hanya tinggal sebanyak 8,941 di depot tahanan imigresen dan selebihnya telah dihantar pulang ke negara asal selain dikenakan kompaun mengikut kesalahan,” katanya.

Mustafar berkata, pihaknya mengambil tindakan yang cepat untuk menguruskan PATI yang ditahan bagi mengelak negara menanggung kos penyaraan yang tinggi selain bagi mengelak kesesakan di depot tahanan.