Menurut mereka, harga RM5,000 sehektar dianggap amat murah berbanding RM12,000 sehektar yang dinikmati oleh rakan pengusaha tanah rancangan kerajaan lain di negeri ini.

Wakil peserta itu, Aziz Said, 60, berkata, Felcra telah menganugerahkan kontrak pembelian kayu getah untuk tanah rancangan mereka dengan setiap peserta mempunyai 2.4 hektar tanaman komoditi itu pada 21 Ogos 2017 dengan harga RM5,000 sehektar.

“Kontrak ini amat murah dan merugikan peserta memandangkan rakan kami di Felda Berhad Ulu Yon, Tampin memperoleh harga RM12,000 sehektar pada tahun yang sama. Kami difahamkan peserta di negeri lain juga ditawarkan harga yang sama.

“Berdasarkan perbandingan itu, kami menuntut Felcra membayar kerugian kira-kira RM7,000 sehektar yang dialami akibat kontrak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah cuba berunding dengan Felcra bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi sehingga kini tidak mencapai persetujuan seperti dikehendaki.

Tambahnya, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain kecuali membawa kes itu ke mahkamah.

Sementara itu, peguam Haresh Mahadevan berkata, tuntutan para peserta berkenaan terhadap Felcra Berhad telah difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 8 November lalu.

Katanya, mahkamah itu telah menetapkan 10 Disember ini untuk pengurusan kes berkenaan. - UTUSAN ONLINE